Vagina Yang Sihat

Vagina Yang Sihat

Mengekalkan kebersihan vagina di luar dan di dalam adalah satu cara nak pastikan anda sentiasa sihat. Anda mungkin tak pernah fikirkan tentang kesihatan vagina, sebab ia kadang-kadang rumit, atau mungkin anda rasa ia memalukan. Tapi mudah saja sebenarnya untuk jaga. Jom sama-sama baca petua-petua di bawah untuk pastikan vagina anda sentiasa sihat.

Vulva

Untuk mengelakkan anda keliru, kita ingat balik - vagina anda adalah laluan darah haid anda keluar daripada badan, di mana kulit di bahagian luar dan kelilingnya dipanggil vulva. Macam ini caranya untuk pastikan vulva anda kekal kering dan ada aliran udara:

  • Sentiasa pakai seluar dalam yang tak ketat dan tukar setiap hari
  • Jangan pakai pakaian bersukan atau baju mandi dengan lama sebab ia biasanya ketat
  • Tukar pad atau liner anda dengan kerap
  • Elakkan dari terdedah kepada keadaan panas atau situasi yang buat anda senang berpeluh dan melecet (seperti bersenam, bersauna atau lain-lain)

Jangan buat vulva anda rasa rimas

  • Jangan guna sabun jenis antiseptik atau kasar (juga jangan guna syampu di kawasan ini!) pada vulva - hanya gunakan air biasa
  • Tak perlu basuh vulva lebih dari sekali dalam satu hari - hanya perlu basuh dengan cermat dan lap sampai bersih, jangan gosok kulit guna tuala dengan kasar.

Apa perlu buat kalau rasa gatal pada vulva

  • Kalau anda risau, paling bagus untuk berjumpa dengan doktor kalau simptom yang anda rasa itu berkait dengan kondisi lain.
  • Pastikan semua pakaian anda yang selalu bersentuh dengan vulva dibilas dengan bersih, supaya tiada kesan serbuk pencuci. Jauhkan juga pelembut kain daripada seluar dalam anda.
  • Cuba mandi dengan rendaman bergaram (dua sudu teh garam untuk setiap liter air) atau mandi guna air sejuk di bawah pancuran air kalau anda rasa kepedihan dan kegatalan.
  • Jangan menggaru! Kalau anda garu, boleh sebabkan luka pada kulit sensitif dan buatkan kegatalan jadi lagi teruk.
  • Kurangkan senaman yang boleh buatkan kawasan vulva jadi senang gatal (seperti menunggang kuda atau basikal).
  • Jangan pakai pakaian bersukan atau baju mandi dengan lama sebab ia biasanya ketat

Vagina

Dalam vagina ada bermacam-macam jenis bakteria, yis dan mikroorganisma lain, yang wujud secara semula jadi. Laktobasili ialah bakteria baik yang memastikan bakteria dalam keadaan baik, dan selalunya membuatkan vagina berada dalam tahap sedikit berasid. Tapi kadang-kadang, faktor luaran boleh buatkan bakteria semula jadi tidak berapa seimbang dalam vagina. Ini boleh sebabkan masalah seperti jangkitan yis atau jangkitan bakteria. Sesetengah perempuan senang untuk mendapat jangkitan sebegini berbanding dengan orang lain.

Stress, demam dan perubahan hormon juga boleh mengganggu persekitaran vagina, tapi ada beberapa perkara lain yang boleh anda buat untuk kekalkan kesihatan vagina.

Cara-cara untuk pastikan vagina anda bebas jangkitan

  • Pastikan anda basuh tangan sebelum dan selepas menyentuh kawasan kemaluan
  • Amalkan mengelap dari bahagian depan ke belakang
  • Kekalkan tahap kebersihan tinggi - tak perlu gosok dengan terlalu kasar dan banyak kali untuk pastikan vagina sentiasa sihat dan mandilah dengan kerap
  • Elak dari guna bahan kosmetik untuk vagina (seperti bedak, pewangi)
  • Guna sabun lembut
  • Jangan kongsi tuala dengan orang lain
  • Kekalkan kesihatan dengan kerap bersenam
  • Pastikan anda pilih pemakanan sihat dan kurangkan makanan ringan dalam diet
  • Guna seluar dalam dibuat 100% daripada kapas untuk vagina yang sihat
  • Jangan pakai seluar dalam ketika tidur untuk pengudaraan yang lebih baik bagi vagina
  • Jangan bilas sebarang cecair ke bahagian dalam vagina anda, melainkan disaran oleh doktor anda

Tanda-tanda masalah vagina

Kalau anda mengalami salah satu simptom ini, mungkin dah sampai masa untuk anda berjumpa dengan doktor. Masalah vagina boleh disebabkan oleh hormon, masalah kesihatan, kehamilan, atau mungkin juga penyakit yang diperoleh melalui aktiviti seks (STD).
  • Kegatalan atau kepedihan di keliling pembukaan vagina
  • Rasa pedih setiap kali anda buang air kecil (ouch!)
  • Keputihan yang banyak atau pelik
  • Bengkak pada kawasan kemaluan
  • Pendarahan yang tidak normal
  • Bau kurang menyenangkan
Memastikan vagina anda sentiasa sihat amatlah penting. Jadi kalau anda mengalami sebarang masalah seperti yang disenaraikan di atas, terus bergegas untuk berjumpa dengan pakar sakit puan atau doktor dan bertanya sama ada anda perlu buat prosedur pap smear atau pemeriksaan kesihatan. Ingat bahawa penyakit yang diperoleh melalui aktiviti seksual (STD) boleh dibendung.

Source disclaimer: Article is adapted from original article source U by Kotex – Australia