S: Bagaimana seseorang itu mendapat STI?
J: Sebaik sahaja kamu mula aktif secara seksual, sebaik-baiknya kamu belajar melindungi diri kamu daripada STI. STI ataupun STD
(sexually transmitted disease) merupakan jangkitan penyakit kelamin. Kamu boleh terkena jangkitan melalui hubungan seks dengan pasangan yang berpenyakit. Kuman-kuman ini terlalu halus sehinggakan kamu hanya boleh melihatnya melalui peralatan canggih. Ia berenang dalam cecair badan seperti darah atau lelehan dari vagina atau penis mereka yang berpenyakit. Dalam sesetengah kes, STI mungkin berjangkit melalui jarum, luka pada kulit atau semasa pemindahan darah. Susu dari ibu yang berpenyakit juga mungkin memindahkan kuman menyebabkan STI terhadap bayi yang meminum susu ibu.
Jadi, berhati-hatilah. Perhatikan sebarang luka, kudis atau tatu pada badan pasangan kamu dan ketahui amalan seks pasangan kamu.
S: Adakah kondom berkesan dalam mengelakkan STI?
J: Kondom memang mudah didapati dan berkesan dalam melindungi kamu daripada STI apabila digunakan dengan betul. Ia berkesan untuk mengelakkan jangkitan STI daripada pertukaran cecair badan. Ini kerana, kondom akan berfungsi sebagai penghalang. Namun begitu, sesetengah kuman seperti virus mungkin terlalu halus dan boleh meresap melalui lubang-lubang halus yang terdapat pada kondom. Gunakan kondom lateks kerana ia memberikan lebih perlindungan. Tapi awas, ada juga antara kita yang alah terhadap lateks. Dapatkan nasihat doktor agar kamu boleh menggunakan alternatif lain.
Penggunaan pelincir berasaskan air seperti jeli KY juga mungkin membantu. Pelincir berasaskan minyak boleh memanaskan kawasan kulit kondom dan boleh menyebabkan koyakkan kecil pada permukaannya. Kondom juga tidaklah begitu mahal dan ada dijual di pasaran.
S: Apa itu AIDS?
J: Kita selalu dengar mengenai
AIDS. Pesakit yang menghidap AIDS tidak mendapatnya kerana jangkitan. AIDS merupakan hasil jangkitan virus yang dipanggil HIV iaitu
human immunodeficiency virus.
HIV disebarkan melalui pertukaran cecair badan semasa persetubuhan, pemindahan darah dan juga penyusuan badan. Mereka yang dijangkiti HIV mungkin tidak akan berasa apa-apa atau menunjukkan sebarang simptom penyakit untuk beberapa tahun lamanya. Mereka mungkin menjangkiti orang lain dalam tempoh masa ini. Jangkitan HIV akan berkembang sepenuhnya kepada AIDS apabila sistem imun seseorang itu tidak lagi boleh melawan HIV. Sistem imun badan merupakan pertahanan pertama yang melawan kuman-kuman yang masuk ke badan. Semasa inilah pesakit mula berasa lemah. Batuk biasa dan jangkitan kulit yang boleh dirawat untuk orang biasa mungkin menyebabkan rawatan berpanjangan di hospital atau kematian untuk mereka yang menghidap AIDS.
S: Bolehkah AIDS tersebar melalui ciuman atau perkongsian barangan peribadi?
J: Sama seperti STI yang lain, virus HIV yang menyebabkan AIDS disebarkan melalui pertukaran cecair badan. Air liur mengandungi sejumlah kecil HIV yang terdapat dalam mereka yang berpenyakit. Anda tidak akan mendapat HIV sekiranya anda bercium, melainkan terdapat pendarahan atau luka pada mulut.
Anda juga tidak akan dijangkiti HIV sekiranya anda berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sudu dan garfu. Anda juga tidak berkemungkinan dijangkiti HIV dengan sentuhan sosial harian seperti menyentuh, bercium atau berpeluk.
S: Bagaimana untuk menghalang jangkitan ini?
J: Sentiasa lindungi diri kamu. Sesungguhnya HIV tidak mengenal umur, bangsa atau jantina. Ia boleh terkena pada yang tua dan muda, lelaki dan wanita, kaya dan miskin. Kamu juga tahu yang untuk satu jangkitan, ia memerlukan dua orang untuk bersatu. Kamu boleh berjangkit dari pasangan dan begitulah sebaliknya. Mengenali pasangan kamu, nilai dan amalan seksualnya sebelum ini akan membantu kamu. Walaupun agak sukar untuk dilakukan, kamu tetap perlu pentingkannya kerana ia melibatkan kesihatan kamu. Meminta pasangan lelaki kamu untuk memakai kondom merupakan salah satu cara yang paling mudah dan efektif untuk menghalang jangkitan STI. Janganlah membuat hubungan seks apabila kamu belum lagi bersedia. Minta nasihat doktor agar kamu mendapat panduan sewajarnya. Membasuh vagina menggunakan sabun dan air selepas persetubuhan atau menggunakan alkohol tidak akan mengelakkan daripada jangkitan STI.